Wednesday, September 7, 2011

Sejarah yang tidak boleh di padamkan..

UNTUK MEREKA YANG MASIH KURANG SEDAR British telah berjaya dihambat keluar dari Tanah Melayu kerana anak semua bangsa telah bangun mengangkat senjata melawan mereka. Perjuangan angkat senjata ini adalah fakta sejarah. Fakta yang selama ini telah cuba ditenggelamkan oleh United Malay National Organisation. Niat busuk menenggelamkan fakta ini bertujuan untuk menipu orang ramai agar percaya bahawa gerombolan United Malay National Organisation ini sahaja yang berhak menjadi 'raja’ memerintah Tanah Melayu/Malaysia sampai hari kiamat. Semenjak tahun 1958 United Malay National Organisation telah ke hulu ke hilir menjajakan ikan busuk – Merdeka dicapai tanpa tumpah darah. Setiap bulan Ogos United Malay National Organsation jadi mamai dengan kesah-kesah dongeng tentang bagaimana mereka menentang gerila Pembebasan Rakyat Malaya yang dipimpin oleh Parti Komunis Malaya (PKM). United Malay National Organisation ini agak bebal kerana kesah kesah dongeng ini membuktikan bahawa mereka - dalam Bahasa Inggerisnya menjadi British’s running dog atau anjing suruhan British. Rakyat Tanah Melayu bangun menentang British tetapi United Malaya National Organisation menentang orang yang menentang British. Jelas ini perbuatan dan kerja barua British. Perjuangan mengangkat senjata melawan Brtish bermula pada 20 Jun 1948. Sebelum angkat senjata melawan British ini dilancarkan, Parti Komunis Malaya telah juga melancarkan gerakan gerila bersenjata menentang kuasa fascist Jepun. Ini adalah jawapan anak semua bangsa terhadap fascist Jepun yang telah menawan Tanah Melayu pada tahun 1941-1945. Ini fakta sejarah. Babak-babak sejarah sejarah gilang gemilang bermandi darah ini cuba dilupuskan kerana dalam sejarah ini nama United Malay National Organisation tidak pernah muncul. Bau bau kentut mereka pun tidak terdengar dalam babak-babak sejarah ini. Gerombolan United Malay National Organisation tidak pernah wujud dalam perjuangan anti-imperialis. Kuasa imperialis Kulit Puteh ( White Colonial Power) – Portugis, Belanda dan British – datang ke Tanah Melayu ini kerana mencari harta kekayan. Kuasa imperial ini datang untuk mengambil hasil bumi – bijeh, emas, getah dan rempah rampai. Buktinya: gerombolan yang datang awal untuk menjarah harta kekayaan di Kepulauan Nusantara adalah lanun seperti Raffles dari East India Company. Semenjak kuasa imperialis ini - Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun - menjejakkan kaki ke Tanah Melayu – mereka terus diserang. Nama seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Jaggut, Maharaja Lela, Haji Abdul Rahman Limbong – adalah pemula gerakan anti-imperialis di Tanah Melayu. Ini fakta yang tidak mungkin luput hingga hari kiamat. Mari saya cerahkan para pembaca dengan beberapa fakta-fakta sejarah yang juga tidak mungkin akan berubah hingga hari kiamat. Para pembaca yang budiman : Sila buka minda dan pakukan ke dalam otak kita semua bahawa parti dan pertubuhan politik Melayu yang tertua di Tanah Melayu ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1938 dibawah pimpinan Ibrahim Yacoob. Ini diikuti pula dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 dengan sayap mudanya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). United Malay National Organisation hanya ditubuhkan pada tahun 1946. Sila baca betul betul. Buka mata dan buka kepala: KMM 1938, PKMM, API dan AWAS pada tahun 1945. United Malay National Organisation ditubuh pada tahun 1946. Baca sekali lagi : sembilan belas empat puluh enam United Malay National Organisation ditubuhkan dan bukan sembilan belas tiga puluh lapan. Tarikh 1946 ini pun untuk United Malay National Organisation telah ditalkinkan. United Malaya National Organisation yang baru ini ditubuhkan pada tahun 1988. Ini fakta sejarah yang tidak akan berubah hingga hari kiamat. Kemudian mari kita lihat garis-garis perjuangan parti-parti ini. Kesatuan Melayu Muda dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya telah memekikkan slogan – MERDEKA! Laungan ini telah menghantui kuasa imperial British. Tuntutan kemerdekaan ini telah mengampoh dan ini menakutkan kuasa kolonial British. United Malay National Organisation bukan sahaja TIDAK berani melaungkan – merdeka – malah gerombolan ini telah mengeluarkan slogan lawak seram yang berbunyi: Hidup Melayu! Slogan lawak seram ini seolah-olah orang Melayu 'kurang oxygen’. Masih tidak jelas - apakah pada tahun 1946 dahulu orang Melayu sedang nyawa-nyawa ikan atau kurang oxygen untuk bernafas sehinggakan perlu dilaungkan ‘hidup Melayu’. Atau kerana hakikatnya United Malay National Organisation ini satu gerombolan yang bebal dan tidak dapat memikirkan slogan yang masuk akal. Lawak seram – Hidup Melayu – masih ditakbirkan ke hulu ke hilir hingga ke hari ini. Adalah satu fakta bahawa yang masih lantang melaungkan Hidup Melayu hari ini adalah kaum Mamak Kimma dan kumpulan Awang Hitam yang semakin di sangsikan teromba dan salasilah kerurunan mereka. Kenapa Awang Hitam ini suka melaungkan Hidup Melayu ini memerlukan satu kajian yang lebih rapi. Adalah juga fakta sejarah bahawa United Malay National Organisation tidak - diulangi sekali lagi dengan huruf besar – T-I-D-A-K - berjuang untuk mendapat kemerdekaan. Apabila kuasa imperial British merasa tekanan senjata dan gerakan massa politik di Tanah Melayu semakin melonjak dan mengampoh maka kuasa imperial memerlukan budak suruhan yang setia. Justeru, diwujudkan satu gerombolan yang dipanggil United Malay National Organisation. Nama Inggeris kumpulaan ini masih dipakai hingga ke hari ini. Nama Inggeris ini sahaja sudah memadai sebagai bukti bahawa gerombolan ini ditelor, dieram dan dinetaskan oleh British. Pada 20 Jun 1948 kuasa kolonial Britsih telah mengistiharkan apa yang dipanggil ‘darurat’. Perkataan ‘darurat’ ini adalah kelentong besar dari pihak British. British dengan licik telah menggunakan perkataan ‘darurat’ agar orang Melayu tidak sedar bahawa apa yang sedang berlaku pada tahun 1948 sebenarnya ialah perjuangan bersenjata untuk menghalau British. Tidak ada warga Tanah Melayu dalam darurat. Yang darurat ialah kuasa kolonial dan soldadu British yang telah diserang oleh gerila Pembebasan Rakyat Malaya. Apabila darurat diistiharkan – kuasa kolonial British telah mengharamkan KMM, PKMM, PKM, API, AWAS, Hisbul Musliman dari bergerak bebas di Tanah Melayu. Ramai pemimpin parti , kader politik dan aktivis dalam gerakan nasionalis ini telah di tangkap oleh soldadu British. Nama-nama seperti Burhanuddin al- Helmy , Ishak Haji Muhamad, Chen Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, S.A. Ganapathy, Ustaz Abu Kabar al- Bakir, Ahmad Boestaman, Kamaruzaman Teh, Abdullah Sidi adalah nama-nama nasionalis yang dikhendaki oleh British. Apabila pemimpin dan kader dari gerakan nasionalis ini ditangkap, diburu atau dibunuh maka barulah United Malay National Organisation dapat berkembang. Gerombolan United Malay National Organisation dapat bernafas dengan slogan Hidup Melayunya kerana ramai pemimpin-pemimpin rakyat telah memulakan kerja dibawah tanah atau masuk ke hutan mengangkat senjata untuk menjadi gerila Pembebasan Rakyat Malaya. British dengan licik telah lebih awal merancang satu strateji untuk memastikan United Malaya National Organisation dapat mara ke hadapan. Strateji ini cukup senang: Dua tahun sebelum darurat diistiharkan kuasa kolonial British telah menimbulkan konsep politik yang dinamakan Malayan Union. Ini adalah taktik Britsih untuk mematahkan gerakan nasionalis Melayu yang anti- British. Dengan mencadangkan konsep Malayan Union ini British telah memberi nafas kepada United Malay National Organisation untuk mengumpulkan orang-orang Melayu. Justeru apabila darurat diistiharkan dua tahun kemudian - pada tahun 1948 – pucuk pimpinan nasionalis Melayu dari KMM, PKMM, PKM telah dipatahkan. Gerakan yang tidak diganggu gugat malah mendapat sokongan British hanyalah United Malaya National Organisation, Malayan Indian Congress dan Malayan Chinese Association – semuanya menggunakan nama Inggeris. Ketika pemimpin gerakan nasionalis dalam penjara atau kini di hutan bergerila maka ketika inilah United Malay National Organisation mencelah masuk menawarkan diri untuk menjadi barua British yang setia. Ini fakta sejarah yang sampai kiamat pun tidak akan berubah. Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman – dua bengolan ini bukan – B-U-K-A-N - dieja dengan huruf besar - bukan perjuang menentang Britsih. Mereka berebut-rebut menawarkan diri untuk menjadi barua Brtisih yang setia. Pada ketika itu penjajah British memasang dua kuda. Justeru, kuasa kolonial British memiliki dua pilihan. British akan memilih kuda yang lebih setia dan yang boleh menipu orang Melayu dengan bijak bistari. Akhirnya Tunku menjadi kuda pilihan British. Dengan kemunculan budaya internet segala pembohongan United Malay National Organisation telah diketahui umum. Satu demi satu tipu helah dan fakta songsang tentang perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu telah mula dibongkar. Anak-anak muda semakin sedar kenapa pada ketika ini United Malay National Organisation sedang bermati-matian cuba memesongkankan fakta perjuangan bersenjata melawan British. Hari ini – pada 5 haribulan September 2011 – United Malay National Organisation sedang bernafas dalam lumpur untuk mempertahankan babak serangan gerila Pembebasan Rakyat Malaya keatas Rumah Pasong Bukit Kepong. United Malay National Organisation melihat serangan ini sebagai detik sejarah perjuangan mereka. Serangan gerila ini telah dipimpin oleh Mat Indra – seorang guru agama, seorang kader dari Parti Komunis Malaya dan aktivis API. Kemunculan Mat Indera pada tahun 2011 telah meledakkan mitos bahawa Parti Komunis hanya dianggotai oleh orang China. Roh Mat Indra juga telah meledakkan mitos bahawa kaum komunis tidak ada agama. Roh Mat Indra yang muncul tahun ini telah juga mensahehkan bahawa United Malay National Organistaion adalah barua setia British. Ini kerana Sarjan Ketua Rumah Pasong Bukit Kepong pada malam serangan itu ialah Ray Dancey. Sila baca namanya sekali lagi. Namanya bukan Mat Rais bin Lebai Dasi tetapi Ray Dancey – seorang Mat Salleh yang sebelum ini kerjanya ialah mengharu birukan rakyat Palestin. United Malay National Organsation ini bukan sahaja barua yang setia malah telah menjadi barua yang amat bebal. Tidakkah mereka sedar bahawa serangan keatas Rumah Pasong Bukit Kepong ini berlaku pada 23 Februari 1950. Tahun seribu sembilan ratus lima puluh Tanah Melayu masih dibawah British. Bendera yang berkibar di rumah pasong Bukit Kepong ialah bendera Union Jack. Lagu yang dinyanyikan ialah lagu God Save the Quen dan bukan lagu Memula Moon atau Terang Bulan.(TT)

Wednesday, September 22, 2010

Tazkirah

Allah menjadikan manusia ini  terdiri dari jasad dan roh atau jasmani dan rohani.Untuk hidup keduanya perlukan makanan.Jasad  jika tidak makan dalam beberapa hari "  insyaAllah" dia akan mati akan tetapi jika makan tapi yang dimakan itu racun ia juga akan mati.Begitu juga dengan rohani ia juga perlu makan untuk hidup dan jika yang diberi makan itu racun ia juga akan mati.Istilah mati kedua  berbeza jika  jasad yang mati maka ia akan dikebumikan akan tetapi jika rohani yang mati maka hati akan menjadi gelap dan tidak dapat menerima kebenaran.Tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang bathil.Makan untuk jasmani hanya melalui mulut sedangkan makan untuk rohani  melalui semua pancaindera seperti mulut, mata ,telinga kaki tangan dan sebagainya.....bersambung

Friday, September 17, 2010

Nikmat akan ditanya

Selamat hari raya aidil fitri dan maaf zahir batin pada semua

semakin lama manusia hidup semakin banyak nikmat yang dia kecapi, semakin banyak soalan tuhan yang dia akan terima pada hari kiamat. Setiap sen , setiap detik, setiap nafas dan setiap nikmat akan ditanya. Itulah yang tuhan maha agong firmankan dalam Quran yang agong dalam ayat yang terakhir surah at-Takathur:

" Kamu pasti akan ditanya pada hari kiamat tentang segala nikmat yang kamu dapat."

Kita kebanyakannya gembira mendapat nikmat. Ada yang puas, yang tersenyum, yang ketawa, yang gembira, yang melompat dan berbagai gaya dan aksi lagi. Tetapi baginda saw menangis ketika mendapat nikmat. Setelah baginda makan kambing panggang dan susu kambing bersama sahabat, baginda menangis sehingga basa lantai. Apabila ditanya, baginda menjawab :

" Ini adalah daripada nikmat yang ditanya tentangnya."

Nabi orang yang paling bersyur terhadap nikmat tuhan menangis kerana takut tidak mensyukuri nikmat Allah. bagaimana dengan kita yng banyak kufur dengan nikmatnya....lagi banyak nikmat lagi bnyak soalan yang akan kita terima pada masa kita dihisab kelak. sebab itu orang2 miskin yang baik lebih dahulu masuk syurga dari orang-orang kaya ahli syurga. Nabi saw bersabda:

" Orang-orang fakir beriman masuk syurga lima ratus tahun lebih dahulu dari orang-orang kaya beriman."

Hadis riwayat Tirmizi.

Setiap nikmat yang kita terima akan menuntut haknya pada hari kiamat kelak. Dari mana kita ambil dan kemana kita gunakannya. Nabi saw bersabda:

" Anak adam pasti akan ditanya 4 perkara pada hari kiamat kelak

1. DItanya tentang umurnya bagaiman ia habiskan.

2. Ditanya tentang masa remajanya bagaimana dia menggunakannya.

3. Ditanya tentang hartanya , dari mana ia ambil dan ke mana dia gunakannya.

4 . Ditanya tentang ilmunya sejauh mana pengamalannya.

Hadis riwayat tirmizi.

Allah menuntut hak kesyukuran dari segala nikmat yang diberikan kepada kita. Apa hak kesyukuran? hak syukur adalah menggunakan segala nikmat Allah untuk apa yang Allah perintahkan. Nikmat datang dari Allah, dengan cara Allah kita kena gunakan. Setiap detik dan setiap nikmat yang kita terima kita kena gunakannya untuk Allah dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah.

Wednesday, September 15, 2010

Puasa enam

Oleh : Mufti Brunei

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bulan Ramadhan yang baru saja berlalu selain banyak membentuk dan mendidik kita, memberi peluang pula bagi kita merebut pahala berlipat ganda sekaligus meningkatkan keimanan serta ketaqwaan.

Kini dengan tibanya bulan Syawal iaitu bulan kembali kepada fitrah, boleh menjadi pengukur sejauh mana bulan Ramadhan yang baru saja berlalu telah memberi kesan dalam jiwa kita.

Kalau di bulan Ramadhan kita biasanya merebut peluang untuk mengerjakan amalan-amalan sunat seperti sembahyang Tarawih, Witir, bertadarus atau membaca al-Qur’an, bersedekah dan sebagainya, adakah di bulan-bulan selepas Ramadhan kita akan meneruskan amalan tersebut?

Antara amalan-amalan sunat yang menjadi rebutan para salihin di bulan Syawal ini ialah amalan puasa sunat enam. Apakah dia puasa sunat enam itu?


Definisi Serta Fadhilat Puasa Enam


Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal. Ianya sunat dan lebih afdhal dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal, dan boleh juga dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan pada awal bulan Syawal.

Puasa sunat enam ini sangat besar fadhilat serta ganjarannya, diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.”


(Hadits Riwayat Imam Muslim)


Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


Maksudnya:
“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”


(Hadits Riwayat Imam Al-Darimi)

Apa yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.

Hukum Dan Kedudukan Orang Berpuasa Sunat Menghadiri Jemputan Rumah Terbuka



Amalan berziarah atau berkunjung-kunjungan di Hari Raya Aidil-Fitri sudah menjadi adat bagi kita. Tuan rumah sudah pasti menghidangkan berbagai jenis juadah khususnya ketika mengadakan majlis rumah terbuka atau yang lebih biasa disebut dengan "open house".

Bagi mereka yang sedang berpuasa sunat enam, ini adalah satu dilema yang sukar dielakkan di hari raya ini, apatah lagi jika tuan rumah itu mengkhususkan jemputannya di waktu siang. Sehinggakan ada yang menjadikan alasan berpuasa sunat itu untuk tidak menghadiri jemputan ataupun menjadikannya alasan untuk tidak berpuasa enam.

Perlu diingat bahawa berpuasa bukanlah tiket serta alasan untuk tidak memenuhi jemputan. Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Dalam satu hadits riwayat Imam Muslim, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.”

(Hadits Riwayat Imam Muslim)



Orang yang diundang menghadiri jemputan sedangkan dia berpuasa, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya untuk memakan makanan yang dihidangkan kepadanya oleh tuan rumah. Jika puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa fardhu, misalnya puasa qadha Ramadhan atau puasa nazar maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan dan sebagainya ke atas tuan rumah dan para hadirin.

Adapun jika sekiranya puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa sunat, maka adalah dibolehkan baginya untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu bahkan adalah sunat baginya untuk berbuka seandainya tuan rumah itu merasa tersinggung jika dia tidak memakan makanan yang dihidangkannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh orang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan, Baginda bersabda:

Maksudnya: “
"Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu." Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.”


(Hadits Riwayat Imam al-Baihaqi)



Ini sama halnya dengan tuan rumah yang menjemput ataupun didatangi oleh tetamu padahal tuan rumah itu sedang berpuasa sunat, lalu tetamunya itu berkeberatan untuk memakan makanan yang dihidangkan olehnya dan tidak mahu memakannya kecuali jika tuan rumah yang sedang berpuasa itu turut makan bersamanya – maka dalam hal ini, sebagai menghormati tetamu itu, adalah lebih afdhal bagi tuan rumah itu untuk berbuka dan makan bersama-sama tetamunya tadi kerana Ummu Hani’ Radhiallahu ‘anha sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi berkunjung ke rumahnya, Ummu Hani’ menghidangkan minuman kepada Baginda. Setelah minum, Baginda memberikannya semula kepada Ummu Hani’, lalu Ummu Hani’ pun meminum bakinya. Kemudian Ummu Hani’ pun berkata:

Maksudnya:
"Aku telah berdosa, maka mintalah keampunan untukku, Baginda bersabda: Apakah ia (dosamu itu)? Katanya: Aku ini berpuasa, dan aku berbuka. Baginda bersabda: Adakah puasa qadha yang engkau kerjakan itu? (Ummu Hani’) berkata: Bukan. Baginda bersabda: (Berbuka puasa sunat itu) tidak memberi mudharat kepadamu."


(Hadits Riwayat Imam at-Tirmidzi).



Akan tetapi jika tuan rumah atau tetamu itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika dia meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdhal dan lebih utama baginya untuk terus berpuasa.

Jika dia berbuka juga maka dia tidak akan beroleh pahala puasa yang telah dilakukannya tadi. Berlainan halnya, jika dia berbuka kerana keuzuran misalnya kerana ingin menemani tetamunya makan atau untuk menjaga hati tuan rumah, maka puasanya tadi itu akan diberikan pahala sungguhpun dia tidak dapat menyempurnakannya sepertimana yang disebutkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj.

Bagaimanapun, tidak meneruskan puasa sunat tanpa keuzuran adalah makruh di sisi hukum syara‘ berdasarkan zahir firman Allah Ta‘ala dalam Surah Muhammad ayat 33:

Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu batalkan amalan kamu!”


(Surah Muhammad:33)

Hukum Menqadha Puasa Sunat

Orang yang sedang berpuasa sunat adalah berkuasa ke atas dirinya samada ingin meneruskan puasanya ataupun tidak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ummu Hani‘ Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya:
“Orang yang sedang berpuasa sunat itu adalah raja bagi dirinya, jika dia mahu dia berpuasa dan jika dia mahu dia berbuka.”


(Hadits Riwayat Imam Ahmad)



Menurut pendapat mazhab Imam as-Syafi‘e, orang yang tidak meneruskan puasa sunat samada kerana keuzuran ataupun tidak, maka tidaklah wajib ke atasnya menqadha puasanya itu bahkan hukumnya adalah sunat. Ini kerana jika hukum menqadhanya adalah wajib, maka sudah pasti hukum tidak meneruskannya (puasa sunat) adalah haram.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya:
“Aku membuat makanan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Baginda dan sahabat-sahabat Baginda pun datang. Maka apabila makanan dihidangkan, seorang laki-laki daripada suatu kaum berkata: "Sesungguhnya aku sedang berpuasa." Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu." Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu."”


(Hadits Riwayat Imam al-Baihaqi)



Maka ambillah peluang ini dengan sebaiknya kerana puasa enam ini berserta kelebihan-kelebihannya hanya hadir setahun sekali. Jadi janganlah ia dilepaskan begitu saja kerana agama Islam dengan penuh tolak ansur telah memberikan kemudahan bagi kita untuk mengerjakan puasa enam itu bukan dalam suasana hari raya.

Sumber: Pejabat Mufti Negeri, Brunei Darussalam




Saturday, August 28, 2010

Bila Lailatul qadar

1. Udara dan suasana pagi yang tenang
Ibnu Abbas radliyallahu’anhu berkata: Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam bersabda:
“Lailatul qadar adalah malam tenteram dan tenang, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk, esok paginya matahari terbit dengan sinar lemah berwarna kemerahan” (Hadist hasan)
2. Cahaya matahari lemah, cerah tak bersinar kuat keesokannya
Dari Ubay bin Ka’ab radliyallahu’anhu, bahwasanya Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam bersabda:
“Keesokan hari malam lailatul qadar matahari terbit hingga tinggi tanpa sinar cerah” (HR Muslim)
3. Terkadang terbawa dalam mimpi
Seperti yang terkadang dialami oleh sebagian sahabat Nabi radliyallahu’anhum
4. Bulan nampak separuh bulatan
Abu Hurairah radliyallahu’anhu pernah berkata: Kami pernah berbincang tentang lailatul qadar di sisi Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam, beliau berkata,
“Siapakah dari kalian yang masih ingat tatkala bulan muncul, yang berukuran separuh  cerah.” (HR. Muslim)

5. Malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi setan)

Sebagaimana sebuah hadits, dari Watsilah bin al-Asqo’ dari Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam:
“Lailatul qadar adalah malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi setan)” (HR. at-Thobroni dalam al-Mu’jam al-Kabir 22/59 dengan sanad hasan)

6. Orang yang beribadah pada malam tersebut merasakan lazatnya ibadah, ketenangan hati dan kenikmatan bermunajat kepada Rabb-nya tidak seperti malam-malam lainnya.

Wallahua’lam

Thursday, August 26, 2010

Tazkirah 17 Ramadhan

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.(Surah al Baqarah Ayat 2)

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.(Surah Al Baqarah Ayat 23)

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (Surah al Baqarah Ayat 44)

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.(Surah Al Baqarah Ayat 97)

Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.(Surah A-li' Imraan Ayat 3)

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.(Surah An-Nisaa' Ayat 59)
 
Hari ini jumaat 17 Ramadhan Khutbah jumaat berkisar pada tajuk al-Qur'an dikebanyakan mesjid dan tempat kami malam ini diadakan tazkirah Ramadhan .

Tuesday, August 24, 2010

Tazkirah Ramadhan

Sesungguhnya musuh manusia yang utama ada dua, yang pertama syaitan dan yang kedua nafsu syaitaniah.Sifat keduanya adalah , yang bernama syaitan ini sangat lemah tapi cerdik manakala yang bernama nafsu ini sifatnya kuat tapi bodoh.Maka sesungguhnya syaitan itu musuh kita dan hendaklah kita jadikan ia sebagai musuh.Adapun cara mendidik nafsu ini adalah diibaratkan sebagaimana untuk menjinakan kuda yang liar.Pertama mesti bagi dia lapar supaya  ia akan lebih tunduk patuh kepada tuanya, kedua mesti bagi ia kerja berat  dan yang ketiga mesti bagi ia bercampur dengan kuda yang telah jinak/baik.Begitulah halnya dengan cara untuk memdidik nafsu, kena  berpuasa untuk mendapatkan rasa  lapar baru nafsu ini lemah dan ini adalah diantara hikmah puasa dan cuba lakukan perkara yang berat iaitu bangun malam ini adalah perkara yang sangat berat untuk dilakukan dan seterusnya mesti bercampur dengan orang yang baik dan taat kepada Allah.Ada pun bila nafsu dapat ditundukan maka iman akan melonjak  sebagaimana selalu dikatakan iman para Nabi dan Rasul itu sentiasa menaik kerana  para Rasul ini sentiasa dapat mengawal nafsu dan manakala iman para Malaikat pula adalah mendatar saja kerana para Malaikat ini tidak ada nafsu yang ada hanyalah ketaatan manakala iman para sahabat nabi turun naik seperti ombak laut kerana saling berlawanan antara iman dengan nafsu  akan tetapi iman manusia akhir zaman ini adalah sekejap ada sekejap tiada, pagi mereka beriman petang mereka kufur dan iman mereka keluar dari dada seperti keluarnya anak panah dari pelanjarnya.